d'Coral Delight penggerak IKS
Penjenamaan d'Coral Delight bakal menyaksikan setiap perusahaan terlibat meningkatkan produktiviti untuk memenuhi permintaan pasaran
APABILA disebut industri kecil dan sederhana (IKS), pemasaran adalah antara masalah yang dihadapi golongan pengusaha ini ekoran mereka tidak mempunyai modal mencukupi dan rangkaian jualan kukuh untuk memasarkan produk secara lebih meluas.

Kebanyakan daripada mereka terpaksa mencari alternatif untuk mengatasi masalah ini dengan cara memohon bantuan pinjaman untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti produk sekali gus menjamin potensi pasaran produk itu sendiri.

Namun berita gembira buat usahawan IKS terutama di Tanjung Karang apabila mereka berpeluang untuk meluaskan pasaran produk masing-masing melalui pengenalan jenama d’Coral Delight iaitu jenama produk IKS dari Tanjung Karang.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor, Mansor Omar berkata, jenama tersebut tercetus daripada idea Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang mahukan semua produk IKS di kawasan itu dikenali dengan satu jenama sama.

Menurutnya, fasa pertama pelaksanaan jenama itu menyaksikan 12 produk dipilih menggunakan jenama yang membabitkan lima pengusaha produk IKS di Tanjung Karang.

“Semua produk yang dipilih perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan seperti menjalankan operasi di Tanjung Karang, mempunyai status halal dan perlu berdaftar dengan jabatan atau agensi di bawah kementerian serta diperakui Jawatankuasa Pembangunan Produk Parlimen Tanjung Karang,” katanya.

Barisan produk yang dipilih adalah Jus Mas Cotek Asli, Jus Mas Cotek Lemon dan Uncang Mas Cotek (Fruitania Industry Sdn Bhd) Jus Nanas, Kordial Nanas, Sos Nanas Pedas, Sos Nanas Sweet Sour (PT Pineapples Food Industry).

Jenama ini turut disertai produk Karipap Mini dan Kuih Siput (Industri Makanan Istimewa), Kuih Rotan (Persatuan Ibu Tunggal Tanjung Karang) serta Bebola Ikan dan Kek Ikan (Nur Izam Food).

Industri setempat

Noh berkata, Tanjung Karang lazimnya dikenali sebagai kawasan pertanian sawah padi namun beliau ingin menonjolkan kelainan dengan menampilkan jenama itu sekali gus menjadi identiti buat kawasan barat laut Selangor itu.

Selain membantu pemasaran produk tempatan, jenama itu dilihat sebagai galakan kepada pengusaha produk makanan dan minuman untuk mengembangkan lagi sayap mereka dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, d’Coral Delight tidak hanya terhad dipasarkan untuk pasaran tempatan kerana ia turut berpotensi untuk dieksport ke luar negara disebabkan jenama ini mempunyai kualiti tinggi dan pembungkusan lebih baik.

“Pengusaha di sekitar kawasan ini boleh memohon bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sekiranya berhasrat meluaskan perniagaan dan menjana pendapatan lebih tinggi.

“Jika berminat dan berpotensi untuk dipasarkan, maka produk pengusaha akan diletakkan di bawah jenama d’Coral Delight sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan produktiviti,” katanya pada majlis pelancaran jenama itu, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Tanjung Karang ini berkata, penjenamaan produk IKS itu adalah antara satu proses kerajaan di peringkat kawasan tersebut untuk membantu meningkatkan pendapatan pengusaha dan mengembangkan perniagaan dalam kalangan pengusaha IKS setempat.

“Saya berharap lebih banyak lagi produk di bawah satu jenama dikeluarkan sekali gus menandingi produk berasaskan makanan lain,” katanya.

Sementara itu, beberapa pengusaha yang terlibat yakin penjenamaan semula produk mereka di bawah d’Coral Delight akan melariskan produk dan dalam masa sama membantu untuk menembusi pasaran lebih luas.

Potensi pasaran

Pemilik Industri Makanan Istimewa, Siti Jaroha Amri, 62, berkata, peluang memasarkan produknya iaitu Jar’s di bawah jenama itu adalah satu penghargaan selepas terbabit dalam industri makanan ringan selama 21 tahun.

Menurutnya, ia merupakan peluang buat beliau untuk meningkatkan lagi pendapatan dan meluaskan pasaran produknya.

“Saya yakin penjenamaan ini mampu membawa produk saya ke arah kualiti lebih tinggi dengan pembungkusan lebih baik dan menarik selain diberikan promosi secara berterusan oleh pihak Fama dan kementerian,” katanya.

Pengusaha kuih rotan bagi Persatuan Ibu Tunggal Tanjung Karang, Murtini Kasman, 58, berkata, beliau berasa amat bertuah kerana produk keluarannya dipilih untuk jenama d’Coral Delight ini.

“Saya dan ahli lain perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti produk kerana ia bukan sahaja membawa nama kami malah menjamin pendapatan berterusan dan meringankan beban ahli yang majoritinya merupakan ibu tunggal,” katanya.

Menurutnya, aspek pemasaran pula dilihat lebih mudah kerana segala urusan tersebut dilaksanakan oleh pihak Fama manakala pihaknya hanya memberi tumpuan kepada pengeluaran dan pengawalan kualiti produk.

Pengusaha PT Pineapples Food Industry, Hamzah Pandi, 49, pula berkata, beliau yakin produk keluarannya iaitu sos nanas bakal mendapat sambutan daripada pengguna kerana ia merupakan produk yang jarang dihasilkan dan dijual di pasaran.

Beliau yang memulakan produk itu sejak 2006 berkata, penghasilan sos dan jus nanas memerlukan penelitian dan kesabaran yang tinggi kerana nanas adalah buah yang sangat sensitif dan sukar dicampurkan dengan bahan-bahan lain.

“Dengan aspek pemasaran dan promosi yang dilakukan Fama, saya optimis sos dan jus nanas keluaran saya akan menembusi pasaran lebih luas dan diterima ramai,” katanya.